19 Februari 2017, Ahad.
Terlintas di fikiran untuk aku kembali mengangkat pena yang entah berapa lama dibiarkan di atas meja tak terusik, tinta yang sudah pudar warnanya dimamah usia. Pernah dulu aku terlalu kecewa hingga tiada lagi aksara-aksara yang mampu meluahkan perasaan yang terpendam. Tapi semua itu kisah 3 tahun lepas, waktu warasnya aku hilang dimamah sintetik buatan manusia.
Dengan bantuan Yang Maha Esa & juga berkat doa keluarga, aku kembali berdiri di dunia nyata. Sejujurnya aku muak dengan kehidupan fantasi. Alhamdulillah, aku bersyukur aku berjaya kembali ke landasan yang betul, selepas lama menyimpang di luar landasan. Segala yang berlaku ini, terkesan pada aku dan manusia sekeleling. Walau sepuluh tahun akan datang, tak kan pernah aku lupa kegelapan yang pernah menguasai diri aku.
Waktu
Tak pernah terlambat walau sesaat
Lupa,
Waktu sentiasa maju kedepan
Masa silam;
yang sia-sia
yang suka-ria
yang entah otaknya cela - kot?
"Kini" jauh tinggalkan yang "Silam"
tinggal aksara yang serupa,
berbeza makna;
sia-sia?
otaknya makin cela - dimakan suka ria
bayang-bayang?
aduh
jauh sekali sudah tidak kenal empunya badan
kata-nya
fizikalnya nampak elok, cantik
rohani-nya sudah lama mati
ya, jika boleh diputar balik waktu,
tiada istilah sia-sia
semua penuh dengan yang bermakna
tiada suka ria
hidup seperti kehidupan manusia biasa
yang nafsu nya jauh dipenjara